Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Said RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya dunia manis lagi hijau, dan sesungguhnya Allah Taala akan menjadikan kamu sebagai pemimpin padanya. Maka, Dia perhatikan bagaimana kamu perlakukan. Maka, waspadalah kamu terhadap dunia dan waspadalah kamu terhadap wanita.
Hadis itu bersumberkan Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 350. Huraian diberikan: Perkataan Rasulullah SAW ‘manis dan hijau’ maksudnya dunia memadukan dua sifat yang disenangi oleh mata dan perasa, seperti buah-buahan. Hadis itu mengandungi peringatan daripada fitnah harta benda dan fitnah wanita.
Fitnah adalah hal yang memberikan akibat tidak bagus kepada kehidupan. Contohnya, apabila mengutamakan kepuasan hidup dunia semata-mata, maka kehidupan akan berpaksi kepada dunia semuanya, malas kepada hal berkaitan akhirat.
Demikian juga apabila terkena fitnah wanita, maka kehidupan seharian seseorang berlegar sekitar wanita sahaja – bekerja hendak bersama wanita, makan dan minum atau bersembang di warung bersama wanita, kerja kosong jika ada mahukan wanita, syarikat mahu buang pekerja maka dibuang lelaki dikekalkan wanita, malah hari ini seolah-olah tidak sah sekiranya tiada wanita dalam paparan media sosial – jika pakaian menepati aurat tidaklah mengapa, tapi tak sedikit yang aurat entah ke mana. Sedar atau tidak, wanita dipergunakan, menjadi dahan atau ranting kepuasan nafsun (diri) kehidupan mutakhir ini di alam realiti mahupun dalam talian.
Kita seharusnya memberikan pertimbangan adil antara jantina, baik lelaki mahupun wanita. Bahkan wanita haruslah dijaga, dihormati dan dimuliakan. Sikap kebertanggungjawaban terletak pada bahu setiap daripada kita.

