Kategori: Nasihat & Peringatan

  • Contohi sikap tawaduk Umar Abdul Aziz

    Tawaduk termasuk dalam akhlak yang sangat mulia dan menjadi nilai daripada akhlak orang soleh, yang selayaknya untuk kita mencontohinya.

    Pada suatu malam, Umar bin Abdul Aziz didatangi tetamu dan selalunya beliau selepas Isyak menulis apa-apa yang diperlukannya, sedang tamunya tidak jauh kelihatan lampu sudah berkelip-kelip hampir padam.

    Maka tamu itu berkata: Wahai Amirul Mukminin, saya akan bangun membaiki lampu itu.

    Jawab Umar: Bukan daripada kemanusiaan apabila menggunakan tenaga tamunya.

    Berkata tamu itu: Apakah saya bangunkan pelayan (pekerja)?

    Jawab Umar: Tidak, sebab dia baru tidur.

    Lalu Umar sendiri mengisi gas lampunya.

    Tamu itu bertanya: Wahai Amirul Mukminin! Tuan sendiri yang membetulkan (melakukannya)?

    Jawab Umar: Ketika saya bangun, saya tetap Umar. Dan kembali juga masih tetap Umar. Dan sebaik-baik manusia di sisi Allah ialah orang tawaduk (merendah diri atau tidak meninggi diri).

  • 10 sifat buruk dan lebih buruk jika berada pada orang tertentu

    Berikut adalah 10 sifat buruk harus dijauhi oleh setiap muslim:

    1. Kejam dalam kekuasaan.

      Sesetengah orang, apabila berkuasa dia berlaku kejam iaitu tidak berlaku adil kepada orang lain – ini mungkin rakyat bawah pimpinannya; pekerja bawah tunjuk ajar dan pemantauannya, sehingga dikenakan tindakan hanya berdasarkan cakap orang atau cerita sebelah pihak ataupun dinafikan jawatan dan gaji sewajarnya; wilayah atau negeri bahkan dunia di bawah genggamannya sehingga orang yang tidak bersalah dikenakan tindakan, dinafikan hak, dibuat dan dibiarkan dalam keadaan susah – air mata bertukar menjadi darah, kanak-kanak dibunuh (ini boleh diperhatikan dalam paparan media mengenai konflik semasa terutama di rantau Asia Barat dan Afrika). Di Minab, Iran, berapa ramai kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa mati begitu saja? Tiada siapa tampil bertanggungjawab.

      2. Bakhil dalam kekayaan.

        Adakah lumrah manusia, apabila kaya hati jadi kedekut. Sayang harta lebih daripada sayang pada dirinya. Manakan tidak, untuk beli sarapan pagi cukup berkira, rela berlapar daripada mengeluarkan wang untuk mengisi perut, padahal duit banyak, kan. Jika tiada wang, berlapar, itu kita fahamlah.

        Tetapi orang berduit, orang kaya katakan – itu kita sifatkan pada harta dia. Yang kita berasa lagi pelik apabila dia bakhil pada harta orang lain, seperti menyekat atau mempersulitkan pengeluaran wang simpanan orang – ini dalam pelbagai cara, ragam dan taktik – tak cuba perhati? Kawan, hanya orang buta, tak bersekolah saja tak mengerti semua yang terjadi.

        3. Tamak pada ulama.

          Siapa ulama? Umumnya ialah orang berilmu. Secara khususnya ialah orang berilmu agama. Lebih khusus lagi ialah orang berilmu agama yang taat kepada Allah.

          Ini apabila berlaku, maka yang kena hukum, kena kata atau kena bedal adalah orang lain. Dia, orang dari kumpulan sama atau sealirannya, maka terselamat daripada kena ‘bedal’.

          Ya, jika dia ‘bedal’, maka hilanglah jawatannya. Sayang kepada jawatan, gaji dan elaun bulanan yang diperolehi, untuk suap makan anak bini. Apa agaknya yang dia hendak jawab di depan Yang Maha Adil, Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Kaya kelak?

          4. Rakus pada orang miskin.

            Sikap ini jika melekat pada orang miskin membuatkan diri dibenci orang, apatah lagi kita tiada harta. Justeru, kita harus bersikap sewajarnya, jaga adab, jaga diri agar tidak keterlaluan.

            5. Tiada malu pada bangsawan.

              Orang yang ada kedudukan, jika tiada malu melakukan suatu bercanggah agama sangat dibenci khalayak, disebut-sebut menjadi contoh dalam kes baharu. Justeru, jaga maruah, jaga kedudukan.

              6. Berlagak muda padahal sudah tua.

                Berpenampilan seperti orang muda, padahal usia sudah tua, seperti masih dengan skirt singkatnya, rambut perang tidak bertudung, berseluar pendek di khalayak, contoh – banyak lagilah.

                Sikapnya juga tidak pernah berubah. Jika waktu muda, ligat dengan manipulasi dan autanya, maka pada usia tua bangka masih juga begitu, tak berubah-ubah.

                7. Orang lelaki menyerupai wanita.

                  Ini tak ramai, tapi sesekali terserempak sakitnya mata. Sesetengah orang mungkin buat tak reti, tapi ia realiti terutama masa kini.

                  8. Wanita menyerupai lelaki.

                    Masa berubah, kadang-kadang timbul cerita wanita serupa lelaki, rambut pendek tanpa tudung seperti lelaki, bahkan botak terus.

                    Cara berjalan, percakapan ditiru macam lelaki, bahkan seleranya juga konon macam lelaki, mahu kepada wanita – ertinya wanita sama wanita – lesbianlah tu.

                    9. Orang zuhud mendekati ahli keduniaan.

                      Ini juga penyakit. Sebab apabila mendekati ahli keduniaan, sedikit-sebanyak kita boleh terpengaruh dengan rentak mereka, sama ada pada idea atau ideologi, pemikiran atau sebagainya.

                      10. Kejahilan dalam ahli ibadat.

                        Solat banyak, bahkan buat itu dan ini atas nama agama contohnya, tapi tidak bersandarkan kepada al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW, maka kerana jahil itu, dirinya berkeyakinan sudah buat yang terbaik, sempurna, lepas daripada tanggungjawab, bahkan terselamat dan diredai oleh Allah.

                        Bagaimana kita boleh cepat berasa yakin, sedangkan kita tidak tahu pun apa yang kita buat itu selari dengan al-Quran dan tunjuk ajar baginda SAW?

                        Justeru, untuk yakin, maka kita kena tahu dan untuk tahu, kita kena belajar. Tiada alasan untuk tidak belajar, tidak tambah pengetahuan, sekiranya kita merasai perjalanan atau liku usia di dunia, kita sihat, kita ada kemampuan.

                        Kita sering mengabaikan ilmu agama, kita buat ikut pandai kita, kita buat ‘cincai’, tak ambil berat, kita fikir agama hanya sekadar nama atau pada zahir saja.

                        Malah kita beralasan hanya kerana ilmu agama, untuk bayar guru agama atau ustaz itu mahal misalnya, padahal pergi melancong beribu-ribu boleh, bayar doktor boleh, ‘make-up’ kereta boleh, tapi apabila bayar ustaz, dua tiga ratus berkira, jaja dalam media sosial…ustaz duitan, tak ikhlaslah, macam-macam.

                        Kawan, bayar kepada ustaz RM300 sebulan untuk ajar kita jadi baik, mengaji jadi pandai baca Quran adakah keterlaluan?

                        Bayar kepada doktor, untuk hidup di dunia sahaja (itu pun belum tentu), bayar kepada ustaz untuk hidup bukan saja di dunia bahkan akhirat. Cakap dengan ustaz, tak dikenakan caj, cakap dengan doktor, dibayar ikut masa. Jadi, fikir-fikirkan.

                        Kawan, membuat sesuatu atas nama agama tanpa pengetahuan atau berpijak pada pengetahuan cetek boleh juga menimbulkan ‘fitnah’ terutama membabitkan hal kemasyarakatan.

                        Apa tidaknya, apabila khalayak melihat yang kita buat atas nama agama itu sebagai sulit, berat dan merimaskan – sedangkan agama itu mudah, halal dan haramnya jelas.

                        Maka, tidak sepatutnya kita menyusahkan hal berkaitan agama, kita pantas menghukum haram terhadap hal yang tidak jelas haramnya dan kita diam membisu pula pada perkara yang jelas haramnya. Contoh…

                        Rujukan: Tanbihul Ghafilin

                      1. 5 kebaikan berzikir kepada Allah

                        Berzikir iaitu dalam maksud zikir kepada Allah adalah amalan terpuji dan sangat dianjurkan.

                        Zikir (atau dalam maksud zikir) secara umumnya boleh berlaku dalam pelbagai keadaan; kata-kata atau perkataan yang dilafazkan, dengan (atau dalam) hati, bahkan dengan amalan perbuatan seperti melaksanakan solat.

                        Namun, yang selalu kita fahami biasanya merujuk kepada pengucapan di bibir mulut (selain pengucapan dalam hati) seperti mengucapkan “subhanallah wa bihamdih” (Maha Suci Allah dan pujian kepada-Nya)

                        Menurut Tanbihul Ghafilin, zikir mengandungi lima jenis kebaikan:

                        1. Tanda keredaan Allah di dalamnya.

                        2. Menambah kerajinan berbuat taat.

                        3. Terlindung daripada syaitan selama berzikir.

                        4. Melunakkan hati (melembutkan hati, mententeramkan jiwa).

                        5. Mencegah daripada maksiat.

                        Begitu pun, tidak semua manusia yang mampu berzikir, apatah lagi manusia yang diselaputi dengan noda duniawi – bibir kaku, jiwa gersang – bahkan tidak mengenal antara tenang dan keluh-kesah, antara haq dan batil, antara abadi dan sementara.

                        Justeru, untuk berzikir bahkan mudawamah (sentiasa) sehingga menjadi santapan dan perhiasan diri memerlukan kepada usaha, tekad dan latihan, ertinya bukan terjadi begitu saja atau semudah seperti disebut di bibir mulut.

                        Dan kerana zikir itu mulia, agung dan tinggi darjatnya, maka ia tidak terhias pada diri yang bergelumang dengan kejahatan – dengki khianat, menindas, membohong, adu domba dan lagha (hari ini terutama di media sosial), membunuh, curi rompak, rasuah, atau berpeleseran dengan penyalahgunaan dadah. Renung-renungkan!

                      2. Tatacara menghadapi makanan dianjurkan

                        Berikut disertakan panduan menghadapi makanan secara ringkas:

                        1. Membasuh dan membersihkan tangan sebelum menjamah makanan dan selepas makan.
                        2. Membaca basmalah ketika menjamah makanan dan membaca pujian bagi Allah apabila selesai makan.

                        Nabi SAW apabila makan dan minum sentiasa mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kita makan dan minum serta menjadikan kita orang Islam.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan selainnya)

                        1. Hendaklah makan dengan tangan kanan dan yang di hadapannya – tidak menerpa pada makanan jauh dari jangkauannya.

                        Daripada Umar bin Abu Salamah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari yang lebih dekat denganmu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

                        1. Tidak mencemuh makanan dihidangkan.

                        Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan sama sekali. Jika dia suka dimakannya dan jika dia tidak suka ditinggalkannya saja. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

                      3. 7 tanda orang takut kepada Allah

                        Seorang ilmuwan terkenal, Abu Laits as-Samarqandi dalam Tanbihul Ghafilin, dipetik sebagai berkata: Tanda takut kepada Allah terbukti dalam tujuh macam:

                        1. Terbukti di lidahnya, maka tertahan lidahnya daripada dusta, ghibah (mengumpat, bercerita keburukan orang lain) dan bercakap yang tidak penting, lantas digunakan untuk berzikir kepada Allah, membaca al-Quran dan mempelajari ilmu.
                        2. Menjaga perutnya, sehingga tidak makan melainkan yang halal dan menurut kadar keperluannya.
                        3. Memperhatikan (beri perhatian pada) penglihatannya, sehingga tidak melihat yang haram dan tidak melihat dunia ini melainkan sekadar untuk peringatan.
                        4. Menjaga tangannya, sehingga tidak menghulurkannya kepada yang haram, hanya digunakan untuk taat kepada Allah semata-mata.
                        5. Menjaga kedua-dua kakinya, sehingga tidak digunakan untuk maksiat (hal yang menyebabkan dosa).
                        6. Menjaga hatinya, sehingga membersihkannya daripada hasad dengki dan digantikan dengan rasa sayang kepada sesama Muslim.
                        7. Menjaga taatnya supaya benar-benar tulus ikhlas kepada Allah dan selamat daripada riyak (menunjuk-nunjuk amalan ibadat) dan nifaq (berpura-pura).

                        Justeru, anda bagaimana?

                      4. Tiga kalimat ahli kebaikan yang wajar diambil pedoman

                        Auf bin Abdullah dilaporkan berkata, seperti dinyatakan dalam Tanbihul Ghafilin: Orang-orang ahli kebaikan satu sama lain berpesan tiga kalimat:

                        1. Sesiapa melakukan amalan untuk akhirat, maka Allah akan mencukupkan urusan dunianya.
                        2. Sesiapa memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan sesama manusia.
                        3. Sesiapa memperbaiki hatinya, maka Allah akan memperbaiki zahirnya.

                        Tiga aspek yang dapat diperhatikan melalui kata itu, yang pertama ialah amalan untuk akhirat, yang kedua ialah memperbaiki hubungan dengan Allah dan yang ketiga ialah memperbaiki hati.

                        Orang yang menumpukan kepada amalan untuk akhirat tak ramai, terutama golongan remaja dan belia. Hal berkaitan akhirat sering dikesampingkan.

                        Banyak waktu terbuang begitu sahaja. Kadang-kadang waktu untuk permainan di telefon pintar lebih lama daripada waktu untuk akhirat, contohnya. Tak berasa rugi?

                        Seterusnya, memperbaiki hubungan dengan Allah, berapa ramai yang mengambil cakna dengan hal ini, melakukan “check and balance”.

                        Hari demi hari kita melakukan solat, tetapi apakah kita meningkatkan kualiti solat kita, dengan sempurna tanpa cacat, dengan khusyuk tanpa gangguan, mengikut anjuran nabi bukan adat, umpamanya?

                        Kemudian, hati kita…emm pernahkah kita lihat, kita periksa, kita bicarakan soal hati kita, bukan hati orang? Ini tidak, hati orang lain, kita nampak, kita pandai baca, sehingga kita “pukul” (kata, menghukum, buat justifikasi) begini dan begini, cukup 360 darjah.

                        Adalah baiknya kita jaga hati kita, jaga daripada sifat mazmumah (sifat keji) daripada hinggap di dahan hati, daripada berselaput, daripada menebal berdaki, daripada bersarang, sehingga kita dirasuk dengan pelbagai sifat cela, yang akhirnya buat kita merana.

                        Ya, hari ini disebabkan hati busuk kita, hati kita mendengki, hati kita yang tidak suka lihat orang sentosa, mungkin kita berasa puas-bahagia, tetapi bagaimana nasib kita kemudian hari…kita tahu?

                      5. Rebut syurga dengan sikap sabar ketika musibah

                        Ibn Majah meriwayatkan: Daripada Abu Umamah, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allah Subhanahu wa Taala berfirman, wahai anak Adam, sekiranya kamu bersabar dan ikhlas ketika ditimpa musibah, maka Aku tidak meredai bagimu pahala melainkan syurga. (Hadis ini dinyatakan dalam Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, halaman 293)

                        Ganjaran syurga kepada orang yang bersabar dan ikhlas dalam menghadapi musibah. Ia bukan calang-calang ganjaran dan tak mudah sebenarnya untuk ke syurga, walaupun diri menyangka ahli syurga. Malah bukan semua orang dapat masuk syurga.

                        Oleh kerana itu, ada baiknya ganjaran syurga ini dijadikan sebagai motivasi untuk diri kita menjadi kekal tabah dalam menghadapi musibah.

                        Musibah datang dan pergi. Datangnya sekali, perginya berkali-kali dan jauh sehingga buat kita lupa. Walaupun datangnya hanya sekali atau sekali-sekala, akibatnya cukup dirasai.

                        Justeru, ada baiknya jika kita sentiasa bersikap awas atau berjaga-jaga, cermat dalam setiap tindakan termasuk tutur kata, tidak gopoh atau cuai, tidak tergesa-gesa dan tidak ikut sedap mulut. Beringat-ingat sebelum kena, bersabar jika kena dan ikhlaskan diri dalam menghadapinya.

                      6. Gila kepada harta, hilang kompas dan neraca hidup

                        At-Tirmidzi meriwayatkan: Daripada Ka’ab bin ‘Iyadh RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya bagi setiap umat ada fitnah, dan fitnah umatku, harta. (Riyadus Solihin & Penjelasannya, 360, yang turut menyatakan at-Tirmidzi berkata [ini] hadis hasan sahih)

                        Harta perlu untuk kehidupan hari ini. Namun tidak dipertikaikan, harta boleh menjadi fitnah (suatu yang membawa akibat buruk) kepada manusia. Disebabkan harta, orang bekerja siang dan malam, memperuntukkan sekian banyak waktu dan memberikan perhatian sepenuh jiwa.

                        Malah, disebabkan harta orang sanggup berbunuh, berkelahi dan berperang. Disebabkan harta orang juga menjadi lupa siapa dirinya yang sebenar, sehingga mempunyai pegangan yang dia boleh melakukan apa saja, ‘akulah berkuasa’ atau ‘akulah terkaya’ memiliki segalanya, sehingga nyawa dan kehidupan orang lain tidak penting baginya.

                        Justeru tiadalah hairan jika kita dapati di sesetengah penjuru dunia, ada orang hidupnya melarat, dikesampingkan, seperti telur di hujung tanduk atau bola di padang, ‘ditendang’, diperbuatkan sesuka hati oleh pihak yang mempunyai harta dan kuasa – orang lemah, orang terlantar, orang tua dan kanak-kanak menjadi mangsa bunuh – perang mereka. Begitulah apabila bola dunia menjadi keutamaan, sehingga hidup hilang arah, tiada kompas dan neracanya lagi.

                      7. Waspada terhadap dunia, wanita

                        Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Said RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya dunia manis lagi hijau, dan sesungguhnya Allah Taala akan menjadikan kamu sebagai pemimpin padanya. Maka, Dia perhatikan bagaimana kamu perlakukan. Maka, waspadalah kamu terhadap dunia dan waspadalah kamu terhadap wanita.

                        Hadis itu bersumberkan Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 350. Huraian diberikan: Perkataan Rasulullah SAW ‘manis dan hijau’ maksudnya dunia memadukan dua sifat yang disenangi oleh mata dan perasa, seperti buah-buahan. Hadis itu mengandungi peringatan daripada fitnah harta benda dan fitnah wanita.

                        Fitnah adalah hal yang memberikan akibat tidak bagus kepada kehidupan. Contohnya, apabila mengutamakan kepuasan hidup dunia semata-mata, maka kehidupan akan berpaksi kepada dunia semuanya, malas kepada hal berkaitan akhirat.

                        Demikian juga apabila terkena fitnah wanita, maka kehidupan seharian seseorang berlegar sekitar wanita sahaja – bekerja hendak bersama wanita, makan dan minum atau bersembang di warung bersama wanita, kerja kosong jika ada mahukan wanita, syarikat mahu buang pekerja maka dibuang lelaki dikekalkan wanita, malah hari ini seolah-olah tidak sah sekiranya tiada wanita dalam paparan media sosial – jika pakaian menepati aurat tidaklah mengapa, tapi tak sedikit yang aurat entah ke mana. Sedar atau tidak, wanita dipergunakan, menjadi dahan atau ranting kepuasan nafsun (diri) kehidupan mutakhir ini di alam realiti mahupun dalam talian.

                        Kita seharusnya memberikan pertimbangan adil antara jantina, baik lelaki mahupun wanita. Bahkan wanita haruslah dijaga, dihormati dan dimuliakan. Sikap kebertanggungjawaban terletak pada bahu setiap daripada kita.