women looking at the book

Tiga kalimat ahli kebaikan yang wajar diambil pedoman

Auf bin Abdullah dilaporkan berkata, seperti dinyatakan dalam Tanbihul Ghafilin: Orang-orang ahli kebaikan satu sama lain berpesan tiga kalimat:

  1. Sesiapa melakukan amalan untuk akhirat, maka Allah akan mencukupkan urusan dunianya.
  2. Sesiapa memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan sesama manusia.
  3. Sesiapa memperbaiki hatinya, maka Allah akan memperbaiki zahirnya.

Tiga aspek yang dapat diperhatikan melalui kata itu, yang pertama ialah amalan untuk akhirat, yang kedua ialah memperbaiki hubungan dengan Allah dan yang ketiga ialah memperbaiki hati.

Orang yang menumpukan kepada amalan untuk akhirat tak ramai, terutama golongan remaja dan belia. Hal berkaitan akhirat sering dikesampingkan.

Banyak waktu terbuang begitu sahaja. Kadang-kadang waktu untuk permainan di telefon pintar lebih lama daripada waktu untuk akhirat, contohnya. Tak berasa rugi?

Seterusnya, memperbaiki hubungan dengan Allah, berapa ramai yang mengambil cakna dengan hal ini, melakukan “check and balance”.

Hari demi hari kita melakukan solat, tetapi apakah kita meningkatkan kualiti solat kita, dengan sempurna tanpa cacat, dengan khusyuk tanpa gangguan, mengikut anjuran nabi bukan adat, umpamanya?

Kemudian, hati kita…emm pernahkah kita lihat, kita periksa, kita bicarakan soal hati kita, bukan hati orang? Ini tidak, hati orang lain, kita nampak, kita pandai baca, sehingga kita “pukul” (kata, menghukum, buat justifikasi) begini dan begini, cukup 360 darjah.

Adalah baiknya kita jaga hati kita, jaga daripada sifat mazmumah (sifat keji) daripada hinggap di dahan hati, daripada berselaput, daripada menebal berdaki, daripada bersarang, sehingga kita dirasuk dengan pelbagai sifat cela, yang akhirnya buat kita merana.

Ya, hari ini disebabkan hati busuk kita, hati kita mendengki, hati kita yang tidak suka lihat orang sentosa, mungkin kita berasa puas-bahagia, tetapi bagaimana nasib kita kemudian hari…kita tahu?