Tag: Lubnan

  • Hizbullah tembak tentera Israel di selatan Lubnan

    Tentera Israel berkata Hizbullah melancarkan beberapa roket ke arah tenteranya di selatan Lubnan sejak beberapa jam lalu tetapi tidak menyebabkan sebarang korban, lapor Al Jazeera.

    Tentera itu berkata, ia menyerang 15 kedudukan Hizbullah, termasuk kemudahan penyimpanan senjata.

    Sejak 2 Mac, serangan Israel ke atas Lubnan telah membunuh lebih 2,700 orang, mencederakan lebih 8,350 yang lain, dan menyebabkan lebih daripada 1.6 juta orang kehilangan tempat tinggal, kira-kira satu perlima daripada populasi.

  • Serangan Israel di Lubnan dilaporkan mengorbankan 16 orang, mencederakan 21 dan merosakkan sekolah

    Serangan dron dan udara Israel di selatan dan timur Lubnan membunuh 16 orang dan mencederakan 21 yang lain, termasuk paramedik, dan merosakkan sebuah sekolah, kata pegawai Lubnan pada Rabu, dalam pelanggaran gencatan senjata terbaru, menurut berita Anadolu.

    Dua orang terbunuh dalam serangan dron di pekan Mefdoun, sementara serangan udara tambahan menyasarkan kawasan antara Zawtar al-Sharqiya dan Zawtar al-Gharbiya, menurut Anadolu memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.

    Empat orang lagi terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam serangan berasingan yang melanda rumah seorang ketua majlis perbandaran di pekan Zellaya di barat Bekaa.

    Serangan Israel juga melanda sebuah kereta di antara pekan Zawtar al-Sharqiya dan Mifdoun di selatan Lubnan, menyebabkan dua orang terbunuh.

    Sebuah dron Israel menyasarkan paramedik yang bergabung dengan Pihak Berkuasa Kesihatan Islam di pekan Deir Kifa, mencederakan tiga daripada mereka, yang telah dibawa ke hospital berdekatan, lapor Anadolu memetik NNA.

    Serangan udara Israel yang berasingan di pekan Aadchit di daerah Nabatieh membunuh seorang.

    Menurut Anadolu, agensi berita itu juga melaporkan, serangan Israel ke atas pekan Saksakiyeh di kawasan Zahrani membunuh lima orang dan mencederakan 15 yang lain.

    Anadolu melaporkan, Kementerian Kesihatan bagaimanapun berkata dalam satu kenyataan kemudian bahawa serangan ke atas Saksakiyeh mengakibatkan empat kematian dan kecederaan 33 yang lain, termasuk enam kanak-kanak dan empat wanita.

    Di daerah Tyre, pasukan pertahanan awam menemui dua mayat susulan serangan yang menyasarkan sebuah kenderaan di jalan al-Haddathiya dekat Sekolah Menengah al-Siraj antara Wadi Jilo dan Tayr Debba, kata laporan itu.

    Pesawat perang Israel juga melancarkan serangan ke atas pekan Rishknaniyah, Safad al-Battikh, Baraachit, dan Qallawiyeh, menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan sekolah di Burj Qallawiyeh, Anadolu memetik agensi berita itu.

    Pesawat perang Israel juga melancarkan serangan udara ke atas sebuah rumah kediaman di kawasan kejiranan Bir Zbib di pekan Doueir di daerah Nabatieh, memusnahkannya sepenuhnya, lapor Anadolu memetik NNA.

    Pada Selasa, tentera Israel melancarkan kira-kira 60 serangan di seluruh Lubnan, membunuh lima orang dan mencederakan yang lain sebagai sebahagian daripada permusuhan berterusan sejak 2 Mac lalu, lapor Anadolu.

  • Akhbar failkan aduan di Perancis terhadap bekas pegawai UNIFIL kerana ‘mengagungkan jenayah perang’

    Akhbar Lubnan Al-Akhbar memfailkan aduan di Paris terhadap Jeneral Philippe Sidos, menuduhnya “mengagungkan jenayah perang” atas komen yang dibuatnya di saluran TV Perancis BFMTV berhubung pembunuhan wartawan Lubnan Amal Khalil oleh tentera Israel pada 22 April, lapor Al Jazeera.

    Sidos, bekas ketua pejabat perhubungan UNIFIL, berkata di saluran itu bahawa “Al-Akhbar adalah akhbar yang rapat dengan Hizbullah. Sebaik sahaja anda menamakan akhbar itu, ia adalah serangan yang disasarkan. Ia jelas, terus terang dan tepat. Dan Al-Akhbar – saya telah melihatnya sebentar hari ini – sememangnya sangat, sangat, sangat pro-Hizbullah”, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, Vincent Brengarth, peguam berpangkalan di Paris yang mewakili akhbar Lubnan itu, berkata dalam aduannya bahawa Sidos “tidak menunjukkan sebarang kekangan dan mengemukakan idea bahawa seorang wartawan boleh dibunuh kerana garis editorial akhbar tempat dia bekerja, dalam konteks konflik bersenjata”.

  • Serangan Israel ke atas selatan, timur Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang

    Serangan udara Israel ke atas selatan dan timur Lubnan membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan tiga yang lain, menurut berita Al Jazeera memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.

    Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas pekan Zellaya (di Bekaa Barat) di timur Lubnan, lapor NNA pada Rabu.

    Ali Qassem Ahmad, ketua majlis perbandaran Zellaya, dan tiga ahli keluarga terbunuh dalam serangan ke atas rumah mereka di barat pekan Bekaa, menurut Al Jazeera memetik NNA.

    Israel juga melancarkan serangan ke selatan Lubnan menggunakan jet pejuang dan dron, manakala kampung Mayfadoun dibedil dengan artileri, mengakibatkan dua kematian, menurut NNA.

  • 3 terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Serangan udara Israel dan serangan dron di selatan Lubnan dari malam Selasa hingga pagi Rabu membunuh tiga orang dan mencederakan beberapa orang lagi, menurut berita Xinhua memetik media rasmi Lubnan.

    Menurutnya, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) melaporkan dua orang terbunuh dan seorang lagi cedera dalam serangan udara di pekan Deir Kifa di daerah Bint Jbeil.

    Pada waktu fajar, sebuah dron Israel menyerang paramedik dari Pertubuhan Kesihatan Islam di Deir Kifa, mencederakan tiga orang medik yang dibawa ke hospital tempatan. Dalam serangan berasingan, seorang terbunuh di pekan Aadchit di daerah Nabatieh. Serbuan semalaman juga menyebabkan kerosakan teruk di Sekolah Awam Borj Qalaouiyeh di Braachit dan Qalaouiyeh.

  • Askar Israel dituduh rompak di selatan Lubnan

    Tentera Israel sedang bergelut untuk menghentikan rompakan oleh askar di selatan Lubnan walaupun terdapat amaran daripada komander tertinggi.

    Menurut berita Al Jazeera, akhbar Yedioth Ahronoth memetik seorang anggota simpanan yang tidak dinamakan berkata, dia telah menyaksikan beberapa kejadian rompakan.

    “Kami terjumpa banyak unit simpanan di sempadan. Mereka main ambil segala-galanya – senjata, cenderahati, barang kemas, selimut, gambar,” kata askar itu, seperti dilaporkan.

    Dalam satu lagi kejadian, katanya, dia menyaksikan seorang komander Israel menghalang askar daripada membawa pulang barang rampasan ke Israel.

    Akhbar Haaretz juga melaporkan askar telah menjarah rumah dan kedai persendirian di Lubnan yang penduduk atau pemiliknya melarikan diri dari pertempuran, menurut berita Al Jazeera, terdapat laporan serupa semasa perang di Gaza.

    Ketua Staf Israel, Eyal Zamir, mengeluarkan amaran keras mengenai penjarahan oleh askar dalam ucapan kepada pegawai kanan tentera seminggu lalu, lapor berita Al Jazeera.

  • Empat paramedik antara 5 cedera dalam serangan Israel ke atas Lubnan

    Empat paramedik adalah antara lima orang yang cedera dalam serangan Israel di daerah Tyre di selatan Lubnan, menurut Kementerian Kesihatan, lapor berita Al Jazeera.

    Serangan udara itu berlaku di sebelah sebuah pusat perubatan di perbandaran Srifa, menurut Al Jazeera memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) dikendalikan oleh kerajaan Lubnan, memetik kenyataan kementerian.

  • Sekurang-kurangnya seorang terbunuh, tiga cedera dalam serangan Israel ke atas Nabatieh di Lubnan

    Serangan udara Israel ke atas perbandaran Arab Salim di daerah Nabatieh di selatan Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan tiga yang lain, termasuk seorang kanak-kanak, menurut berita Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, hal itu menurut kenyataan Kementerian Kesihatan yang diterbitkan oleh Agensi Berita Kebangsaan (NNA) dikendalikan kerajaan.

  • Serangan udara Israel di selatan Lubnan membunuh dua orang, termasuk askar Lubnan

    Tentera Lubnan mengatakan seorang askar dan abangnya terbunuh dalam serangan udara Israel di Khirbet Selm, di daerah Bint Jbeil di selatan Lubnan, lapor Al Jazeera.

    Dalam satu catatan media sosial, tentera mengatakan dua beradik itu diserang ketika mereka menaiki motosikal dari tempat kerja askar itu ke rumahnya di pekan as-Sawana.

  • Lebih 1.2 juta orang di Lubnan bakal hadapi kelaparan akut akibat perang

    Lebih 1.2 juta orang di Lubnan dijangka menghadapi kelaparan akut akibat perang antara Israel dan Hizbullah, menurut laporan yang disokong PBB, lapor berita Al Jazeera.

    Kira-kira “1.24 juta orang – hampir satu daripada empat penduduk yang dianalisis – dijangka menghadapi kekurangan makanan” pada tahap krisis atau lebih teruk antara April dan Ogos 2026, menurut kenyataan bersama oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB, Program Makanan Sedunia dan Kementerian Pertanian Lubnan.

    Ini menandakan “kemerosotan yang ketara” berbanding sebelum perang meletus pada Mac, “apabila dianggarkan 874,000 orang, kira-kira 17 peratus daripada penduduk, mengalami kekurangan makanan akut”, kata kenyataan itu.

    “Kemerosotan ini disebabkan oleh konflik, perpindahan dan tekanan ekonomi.”