Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam serangan udara Israel pada waktu fajar dan pagi Selasa yang menyasarkan beberapa kawasan di selatan Lubnan, lapor berita Xinhua memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.
Kematian pada pagi Selasa membabitkan tiga orang yang terbunuh dalam serangan di kampung Tayr Debba, seorang terbunuh di kawasan Zebdine, dan seorang lagi terbunuh di Deir al-Zahrani.
Di lokasi lain dekat Tyre, jumlah kematian akibat serangan udara fajar meningkat kepada tiga orang selepas seorang wanita yang cedera meninggal dunia akibat kecederaannya.
Dalam kenyataan berasingan, Hizbullah berkata ia menjalankan serangan roket yang menyasarkan kedudukan dan penempatan Israel, serta tentera Israel.
Sementara itu, Direktorat Keselamatan Am Lubnan mengeluarkan kenyataan yang menafikan laporan Israel bahawa lintasan sempadan Masnaa, pintu masuk darat utama negara itu ke Syria dan kawasan pedalaman Arab, sedang digunakan untuk penyeludupan senjata.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat medianya, direktorat itu menekankan bahawa Masnaa adalah titik sempadan yang sah dan tidak boleh digunakan untuk penyeludupan senjata. Ia menyatakan bahawa semua trak dan kenderaan tertakluk kepada langkah pemeriksaan ketat, menyifatkan dakwaan operasi penyeludupan yang beredar sebagai tidak berasas.
