Pegawai Norway kata penderitaan rakyat Lubnan tidak bersalah di bawah pengeboman Israel “menyayat hati”

Menteri Pembangunan Norway, Asmund Aukrust pada Sabtu menyifatkan penderitaan orang awam Lubnan yang tidak bersalah di bawah pengeboman Israel sebagai “menyayat hati” dengan mengatakan Israel mempunyai tanggungjawab untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam, lapor Xinhua.

Dalam satu siaran akhbar, Aukrust berkata situasi kemanusiaan di Lubnan berada di ambang kehancuran susulan kempen pengeboman besar-besaran Israel minggu ini, dan mengumumkan bahawa Norway akan meningkatkan bantuan kemanusiaannya ke Lubnan sebanyak 30 juta kroner Norway (3 juta dolar AS).

“Sangat menyayat hati bahawa rakyat Lubnan yang tidak bersalah terjejas,” kata Aukrust.

Bantuan tambahan itu akan disalurkan kepada Program Negara PBB untuk Lubnan, Dana Populasi PBB (UNFPA) Lubnan dan Program Makanan Sedunia (WFP), dengan setiap satu menerima 10 juta kroner Norway, lapor Xinhua memetik siaran akhbar itu.

Dana itu akan digunakan untuk menyokong keperluan asas seperti tempat tinggal, penjagaan kesihatan, bantuan tunai dan perlindungan, terutama untuk kanak-kanak dan kumpulan terdedah yang lain.