Hizbullah berkata awal Khamis, ia melancarkan roket ke arah utara Israel sebagai tindak balas kepada serangan terbaru ke atas Lubnan, lapor Anadolu.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata ia menyasarkan penempatan Israel di Manara dengan roket sebagai tindak balas kepada pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.
Hizbullah berkata tindak balasnya akan berterusan “sehingga pencerobohan AS-Israel terhadap negara dan rakyat kami berhenti”.
Menurut Anadolu, terdahulu Yedioth Ahronoth berkata peluru berpandu itu dipintas di atas Galilee Atas selepas dilancarkan dari Lubnan ke arah utara Israel selepas sembilan jam tenang.
Akhbar itu menambah bahawa siren serangan udara berbunyi di Galilee Panhandle selepas pelancaran itu.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat dan Iran mengumumkan perjanjian gencatan senjata yang bertujuan untuk membuka jalan bagi perjanjian muktamad bagi menamatkan perang yang dilancarkan oleh Washington dan Tel Aviv terhadap Tehran pada 28 Feb lalu.
Walaupun terdapat perjanjian itu, tentera Israel melancarkan gelombang serangan udara yang meluas di seluruh Lubnan pada Rabu, membunuh sekurang-kurangnya 254 orang dan mencederakan 1,165 yang lain, lapor Anadolu memetik Pertahanan Awam Lubnan.
Walaupun pegawai Iran dan Pakistan berkata perjanjian itu juga merangkumi Lubnan, Israel menegaskan bahawa Lubnan bukan sebahagian daripada gencatan senjata.
