Serangan dron dan udara Israel di selatan dan timur Lubnan membunuh 16 orang dan mencederakan 21 yang lain, termasuk paramedik, dan merosakkan sebuah sekolah, kata pegawai Lubnan pada Rabu, dalam pelanggaran gencatan senjata terbaru, menurut berita Anadolu.
Dua orang terbunuh dalam serangan dron di pekan Mefdoun, sementara serangan udara tambahan menyasarkan kawasan antara Zawtar al-Sharqiya dan Zawtar al-Gharbiya, menurut Anadolu memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.
Empat orang lagi terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam serangan berasingan yang melanda rumah seorang ketua majlis perbandaran di pekan Zellaya di barat Bekaa.
Serangan Israel juga melanda sebuah kereta di antara pekan Zawtar al-Sharqiya dan Mifdoun di selatan Lubnan, menyebabkan dua orang terbunuh.
Sebuah dron Israel menyasarkan paramedik yang bergabung dengan Pihak Berkuasa Kesihatan Islam di pekan Deir Kifa, mencederakan tiga daripada mereka, yang telah dibawa ke hospital berdekatan, lapor Anadolu memetik NNA.
Serangan udara Israel yang berasingan di pekan Aadchit di daerah Nabatieh membunuh seorang.
Menurut Anadolu, agensi berita itu juga melaporkan, serangan Israel ke atas pekan Saksakiyeh di kawasan Zahrani membunuh lima orang dan mencederakan 15 yang lain.
Anadolu melaporkan, Kementerian Kesihatan bagaimanapun berkata dalam satu kenyataan kemudian bahawa serangan ke atas Saksakiyeh mengakibatkan empat kematian dan kecederaan 33 yang lain, termasuk enam kanak-kanak dan empat wanita.
Di daerah Tyre, pasukan pertahanan awam menemui dua mayat susulan serangan yang menyasarkan sebuah kenderaan di jalan al-Haddathiya dekat Sekolah Menengah al-Siraj antara Wadi Jilo dan Tayr Debba, kata laporan itu.
Pesawat perang Israel juga melancarkan serangan ke atas pekan Rishknaniyah, Safad al-Battikh, Baraachit, dan Qallawiyeh, menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan sekolah di Burj Qallawiyeh, Anadolu memetik agensi berita itu.
Pesawat perang Israel juga melancarkan serangan udara ke atas sebuah rumah kediaman di kawasan kejiranan Bir Zbib di pekan Doueir di daerah Nabatieh, memusnahkannya sepenuhnya, lapor Anadolu memetik NNA.
Pada Selasa, tentera Israel melancarkan kira-kira 60 serangan di seluruh Lubnan, membunuh lima orang dan mencederakan yang lain sebagai sebahagian daripada permusuhan berterusan sejak 2 Mac lalu, lapor Anadolu.
