seagulls flying over istanbul skyline

10 sifat buruk dan lebih buruk jika berada pada orang tertentu

Berikut adalah 10 sifat buruk harus dijauhi oleh setiap muslim:

1. Kejam dalam kekuasaan.

    Sesetengah orang, apabila berkuasa dia berlaku kejam iaitu tidak berlaku adil kepada orang lain – ini mungkin rakyat bawah pimpinannya; pekerja bawah tunjuk ajar dan pemantauannya, sehingga dikenakan tindakan hanya berdasarkan cakap orang atau cerita sebelah pihak ataupun dinafikan jawatan dan gaji sewajarnya; wilayah atau negeri bahkan dunia di bawah genggamannya sehingga orang yang tidak bersalah dikenakan tindakan, dinafikan hak, dibuat dan dibiarkan dalam keadaan susah – air mata bertukar menjadi darah, kanak-kanak dibunuh (ini boleh diperhatikan dalam paparan media mengenai konflik semasa terutama di rantau Asia Barat dan Afrika). Di Minab, Iran, berapa ramai kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa mati begitu saja? Tiada siapa tampil bertanggungjawab.

    2. Bakhil dalam kekayaan.

      Adakah lumrah manusia, apabila kaya hati jadi kedekut. Sayang harta lebih daripada sayang pada dirinya. Manakan tidak, untuk beli sarapan pagi cukup berkira, rela berlapar daripada mengeluarkan wang untuk mengisi perut, padahal duit banyak, kan. Jika tiada wang, berlapar, itu kita fahamlah.

      Tetapi orang berduit, orang kaya katakan – itu kita sifatkan pada harta dia. Yang kita berasa lagi pelik apabila dia bakhil pada harta orang lain, seperti menyekat atau mempersulitkan pengeluaran wang simpanan orang – ini dalam pelbagai cara, ragam dan taktik – tak cuba perhati? Kawan, hanya orang buta, tak bersekolah saja tak mengerti semua yang terjadi.

      3. Tamak pada ulama.

        Siapa ulama? Umumnya ialah orang berilmu. Secara khususnya ialah orang berilmu agama. Lebih khusus lagi ialah orang berilmu agama yang taat kepada Allah.

        Ini apabila berlaku, maka yang kena hukum, kena kata atau kena bedal adalah orang lain. Dia, orang dari kumpulan sama atau sealirannya, maka terselamat daripada kena ‘bedal’.

        Ya, jika dia ‘bedal’, maka hilanglah jawatannya. Sayang kepada jawatan, gaji dan elaun bulanan yang diperolehi, untuk suap makan anak bini. Apa agaknya yang dia hendak jawab di depan Yang Maha Adil, Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Kaya kelak?

        4. Rakus pada orang miskin.

          Sikap ini jika melekat pada orang miskin membuatkan diri dibenci orang, apatah lagi kita tiada harta. Justeru, kita harus bersikap sewajarnya, jaga adab, jaga diri agar tidak keterlaluan.

          5. Tiada malu pada bangsawan.

            Orang yang ada kedudukan, jika tiada malu melakukan suatu bercanggah agama sangat dibenci khalayak, disebut-sebut menjadi contoh dalam kes baharu. Justeru, jaga maruah, jaga kedudukan.

            6. Berlagak muda padahal sudah tua.

              Berpenampilan seperti orang muda, padahal usia sudah tua, seperti masih dengan skirt singkatnya, rambut perang tidak bertudung, berseluar pendek di khalayak, contoh – banyak lagilah.

              Sikapnya juga tidak pernah berubah. Jika waktu muda, ligat dengan manipulasi dan autanya, maka pada usia tua bangka masih juga begitu, tak berubah-ubah.

              7. Orang lelaki menyerupai wanita.

                Ini tak ramai, tapi sesekali terserempak sakitnya mata. Sesetengah orang mungkin buat tak reti, tapi ia realiti terutama masa kini.

                8. Wanita menyerupai lelaki.

                  Masa berubah, kadang-kadang timbul cerita wanita serupa lelaki, rambut pendek tanpa tudung seperti lelaki, bahkan botak terus.

                  Cara berjalan, percakapan ditiru macam lelaki, bahkan seleranya juga konon macam lelaki, mahu kepada wanita – ertinya wanita sama wanita – lesbianlah tu.

                  9. Orang zuhud mendekati ahli keduniaan.

                    Ini juga penyakit. Sebab apabila mendekati ahli keduniaan, sedikit-sebanyak kita boleh terpengaruh dengan rentak mereka, sama ada pada idea atau ideologi, pemikiran atau sebagainya.

                    10. Kejahilan dalam ahli ibadat.

                      Solat banyak, bahkan buat itu dan ini atas nama agama contohnya, tapi tidak bersandarkan kepada al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW, maka kerana jahil itu, dirinya berkeyakinan sudah buat yang terbaik, sempurna, lepas daripada tanggungjawab, bahkan terselamat dan diredai oleh Allah.

                      Bagaimana kita boleh cepat berasa yakin, sedangkan kita tidak tahu pun apa yang kita buat itu selari dengan al-Quran dan tunjuk ajar baginda SAW?

                      Justeru, untuk yakin, maka kita kena tahu dan untuk tahu, kita kena belajar. Tiada alasan untuk tidak belajar, tidak tambah pengetahuan, sekiranya kita merasai perjalanan atau liku usia di dunia, kita sihat, kita ada kemampuan.

                      Kita sering mengabaikan ilmu agama, kita buat ikut pandai kita, kita buat ‘cincai’, tak ambil berat, kita fikir agama hanya sekadar nama atau pada zahir saja.

                      Malah kita beralasan hanya kerana ilmu agama, untuk bayar guru agama atau ustaz itu mahal misalnya, padahal pergi melancong beribu-ribu boleh, bayar doktor boleh, ‘make-up’ kereta boleh, tapi apabila bayar ustaz, dua tiga ratus berkira, jaja dalam media sosial…ustaz duitan, tak ikhlaslah, macam-macam.

                      Kawan, bayar kepada ustaz RM300 sebulan untuk ajar kita jadi baik, mengaji jadi pandai baca Quran adakah keterlaluan?

                      Bayar kepada doktor, untuk hidup di dunia sahaja (itu pun belum tentu), bayar kepada ustaz untuk hidup bukan saja di dunia bahkan akhirat. Cakap dengan ustaz, tak dikenakan caj, cakap dengan doktor, dibayar ikut masa. Jadi, fikir-fikirkan.

                      Kawan, membuat sesuatu atas nama agama tanpa pengetahuan atau berpijak pada pengetahuan cetek boleh juga menimbulkan ‘fitnah’ terutama membabitkan hal kemasyarakatan.

                      Apa tidaknya, apabila khalayak melihat yang kita buat atas nama agama itu sebagai sulit, berat dan merimaskan – sedangkan agama itu mudah, halal dan haramnya jelas.

                      Maka, tidak sepatutnya kita menyusahkan hal berkaitan agama, kita pantas menghukum haram terhadap hal yang tidak jelas haramnya dan kita diam membisu pula pada perkara yang jelas haramnya. Contoh…

                      Rujukan: Tanbihul Ghafilin