Warga Palestin terbunuh akibat tembakan tentera Israel di Tebing Barat

Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan pada Khamis pembunuhan seorang lelaki Palestin oleh tembakan tentera Israel di Tebing Barat, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan ringkas, kementerian itu berkata Alaa Khaled Mohammed Sbeih, 28, terbunuh akibat tembakan tentera Israel pada malam Rabu dekat kampung Tayasir, timur Tubas, dan mayatnya ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

Sumber tempatan dan saksi mata melaporkan penduduk kampung berhadapan dengan serangan oleh kumpulan peneroka sebelum pasukan Israel menyerbu kampung itu dan melepaskan tembakan, mencederakan Sbeih dan menghalang pasukan perubatan daripada sampai kepadanya untuk memberikan rawatan, lapor Xinhua.

Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kejadian itu.

Walau bagaimanapun, radio awam Israel melaporkan Sbeih telah menyerang kepala seorang peneroka dengan batu, menyebabkan kecederaan serius, dan peneroka itu dibawa ke hospital untuk rawatan, lapor Xinhua.

Tebing Barat telah menyaksikan ketegangan yang semakin meningkat selama berbulan-bulan, bertepatan dengan perang yang sedang berlangsung di Jalur Gaza. Menurut statistik Palestin, lebih daripada 1,080 rakyat Palestin telah terbunuh di Tebing Barat sejak Oktober 2023.