Tren berlanggar di pinggir ibu kota Indonesia

Dua tren berlanggar lewat Isnin di bandar Bekasi yang bersebelahan dengan ibu kota Indonesia, Jakarta, kata seorang pegawai, sambil menambah bahawa ia telah menjejaskan operasi kereta api, lapor Reuters.

Perlanggaran itu berlaku di stesen tren Bekasi antara laluan komuter dan tren jarak jauh, kata jurucakap pengendali laluan komuter, Karina Amanda, kepada Reuters.

Tiada laporan mengenai korban jiwa, kata Karina, sambil menambah bahawa “kami sedang menumpukan pada pemindahan penumpang dan kru kereta api”.

Punca nahas itu masih belum jelas, katanya.

Menurut Reuters, rakaman daripada penyiar tempatan Kompas TV menunjukkan beberapa ambulans di stesen Bekasi. Penyelamat dari agensi penyelamat Indonesia turut hadir untuk membantu memindahkan penumpang.