Tag: musibah

  • Rebut syurga dengan sikap sabar ketika musibah

    Ibn Majah meriwayatkan: Daripada Abu Umamah, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allah Subhanahu wa Taala berfirman, wahai anak Adam, sekiranya kamu bersabar dan ikhlas ketika ditimpa musibah, maka Aku tidak meredai bagimu pahala melainkan syurga. (Hadis ini dinyatakan dalam Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, halaman 293)

    Ganjaran syurga kepada orang yang bersabar dan ikhlas dalam menghadapi musibah. Ia bukan calang-calang ganjaran dan tak mudah sebenarnya untuk ke syurga, walaupun diri menyangka ahli syurga. Malah bukan semua orang dapat masuk syurga.

    Oleh kerana itu, ada baiknya ganjaran syurga ini dijadikan sebagai motivasi untuk diri kita menjadi kekal tabah dalam menghadapi musibah.

    Musibah datang dan pergi. Datangnya sekali, perginya berkali-kali dan jauh sehingga buat kita lupa. Walaupun datangnya hanya sekali atau sekali-sekala, akibatnya cukup dirasai.

    Justeru, ada baiknya jika kita sentiasa bersikap awas atau berjaga-jaga, cermat dalam setiap tindakan termasuk tutur kata, tidak gopoh atau cuai, tidak tergesa-gesa dan tidak ikut sedap mulut. Beringat-ingat sebelum kena, bersabar jika kena dan ikhlaskan diri dalam menghadapinya.