Tentera Laut Pakistan pada Jumaat berkata ia berjaya menyelamatkan 18 kru dari sebuah kapal dagang yang mengalami masalah di Laut Arab Utara dalam operasi maritim yang diselaraskan membabitkan pelbagai agensi, lapor Anadolu.
Penyelamatan itu susulan “amaran kecemasan” dari MV Gold Autumn, yang beroperasi kira-kira 200 batu nautika (kira-kira 370 kilometer) di luar pantai Pakistan.
Pihak berkuasa tidak menyatakan jenis amaran itu.
Agensi Keselamatan Maritim Pakistan mengaktifkan Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) dan melancarkan prosedur tindak balas kecemasan.
Kapal Tentera Laut Pakistan PNS Hunain, yang meronda di kawasan itu, dikerahkan untuk membantu kapal terbabit.
Pasukan tentera laut menjalankan operasi mencari dan menyelamat, menyediakan bantuan perubatan kepada kru yang cedera, membantu dalam usaha memadam kebakaran, dan menjalankan penilaian teknikal terhadap keadaan kapal terbabit.
Operasi itu mengakibatkan pemindahan selamat semua 18 kru, termasuk warga negara dari China, Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan Indonesia.
Pegawai berkata individu yang diselamatkan telah dibawa ke Karachi untuk rawatan perubatan lanjut sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.