Lapan orang terbunuh pada Jumaat apabila sebuah kereta api berlanggar dengan sebuah kereta persendirian di lintasan kereta api tanpa kebenaran di wilayah Suez, timur Mesir, kata pihak berkuasa, menurut berita Xinhua.
Kemalangan itu berlaku di kawasan Shaloufa di daerah El-Ganayen, timur Kaherah, apabila sebuah kereta api yang bergerak di laluan Suez-Ismailia melanggar sebuah kereta yang “melintasi landasan secara haram”, kata Kegabenoran Suez dalam satu kenyataan, menurut Xinhua.
Kemalangan itu mencetuskan kebakaran, yang berjaya dipadamkan oleh pasukan pertahanan awam.
Pendakwaan awam telah melancarkan siasatan terhadap kemalangan itu.
Rangkaian kereta api Mesir telah lama bergelut dengan peralatan ketinggalan zaman dan pengurusan lemah, yang menyebabkan kemalangan kerap berlaku.
Bencana kereta api paling dahsyat di negara itu berlaku pada 2002, apabila kebakaran di sebuah kereta api Kaherah-Luxor di daerah Ayyat, Giza mengorbankan lebih 380 orang.