Tiga lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Jalur Gaza, menjelang cuti umum muslim Aidiladha di tengah-tengah pelanggaran berterusan gencatan senjata yang sedang berlangsung, menurut berita Anadolu memetik sumber perubatan.
Dalam serangan terbaru itu, tiga rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, terbunuh dan 20 lagi cedera selepas pesawat perang Israel menyerang sebuah bangunan kediaman di selatan kawasan kejiranan Rimal di barat bandar Gaza, lapor Anadolu memetik sumber.
Saksi-saksi dilapor berkata, bangunan itu terletak di satu daripada daerah beli-belah paling sesak di bandar Gaza menjelang Aidiladha.
Menurut mereka, pesawat perang Israel melepaskan beberapa peluru berpandu ke arah bangunan itu, menyebabkan kemusnahan besar di kawasan itu.
Terdahulu, dua rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan yang menyasarkan kenderaan awam di barat Khan Younis di selatan Gaza.
Sumber perubatan dilapor berkata, mayat dua mangsa yang tiba di Kompleks Perubatan Nasser terbakar teruk dan tidak dapat dikenal pasti dengan segera.
Saksi-saksi dilapor berkata, sebuah dron Israel menyasarkan kenderaan awam Hyundai Tucson dekat bulatan Abu Alaa di kawasan Mawasi di Khan Younis.
Sebelum itu, empat rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan perhimpunan orang awam di timur kem pelarian Maghazi di tengah Gaza, lapor Anadolu.
Sumber-sumber perubatan dilapor berkata, mayat empat mangsa dan beberapa orang yang cedera dipindahkan ke Hospital Syuhada Al-Aqsa di Deir al-Balah susulan serangan itu.
Sumber yang sama kemudiannya mengumumkan kematian seorang gadis berusia 14 tahun akibat kecederaan dialami dalam serangan Israel pada Isnin yang menyasarkan khemah-khemah untuk orang-orang kehilangan tempat tinggal di kem Ghaith di kawasan Mawasi di barat Khan Younis.
Serangan itu sebelum ini telah membunuh dua wanita Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, dan mencederakan 30 orang lain, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.
