Kategori: global

  • Konflik Mali: Jeneral Sadio Camara dilapor terbunuh dalam serangan

    Menteri Pertahanan Mali, Jeneral Sadio Camara, terbunuh semasa serangan terkoordinasi ke atas tapak tentera di seluruh negara, menurut berita Al Jazeera memetik sumber yang memberitahunya.

    Berita pada Ahad itu datang sehari selepas kediamannya di bandar garison Kati diserang semasa serangan serentak oleh sekutu al-Qaeda dan pemberontak Tuareg, lapor Al Jazeera.

    Penyerang dilapor melakukan serangan bom kereta berani mati ke atas kediaman Camara di Kati, sebuah bandar tentera yang dikawal ketat kira-kira 15km (9 batu) barat laut ibu negara, Bamako, tempat Presiden Sementara Assimi Goita juga tinggal.

    Kati dianggap lokasi paling selamat di negara itu, namun pejuang dari Jama’at Nusrat al-Islam wal-Muslimin (JNIM) yang berkaitan dengan al-Qaeda, bersama pejuang Tuareg dari Barisan Pembebasan Azawad (FLA), dapat melancarkan serangan, menurut Al Jazeera.

  • Hizbullah kata ia lancar 3 serangan ke atas tentera Israel di selatan Lubnan

    Kumpulan Lubnan, Hizbullah, berkata pada Ahad, ia melancarkan tiga serangan ke atas tentera Israel di selatan Lubnan, lapor Anadolu.

    Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata serangan itu dijalankan “untuk mempertahankan Lubnan dan rakyatnya” dan sebagai tindakan balas atas pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata dan serangan ke atas pekan-pekan di selatan Lubnan.

    Hizbullah dilapor berkata, pejuangnya menyasarkan kedudukan artileri Israel yang baru ditubuhkan di pekan Bayyada dengan sekumpulan dron.

    Ia juga mendakwa dua serangan dron ke atas perhimpunan tentera Israel dan pasukan tentera di pekan Taybeh.

    Israel dilaporkan menggempur Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac.

  • Pihak berkuasa Luhansk yang dikawal Rusia dakwa 3 terbunuh dalam serangan dron Ukraine

    Pihak berkuasa di wilayah Luhansk yang dikawal Rusia pada Ahad mendakwa tiga orang terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam serangan dron Ukraine, menurut berita Anadolu.

    Insiden itu berlaku pada petang Sabtu di kampung Bulhakovka, daerah perbandaran Kreminna, kata Leonid Pasechnik, ketua wilayah yang dilantik oleh Rusia, di platform media sosial Rusia, Max.

    Menurutnya, sebuah dron musuh sengaja menyerang golongan muda yang berada di luar dekat sebuah rumah. Dua pemuda berusia 18 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan mereka. Seorang budak lelaki dan perempuan berusia 15 tahun, serta seorang pemuda berusia 21 tahun, cedera.

    Di Dnipro, Ukraine, jumlah kematian akibat serangan petang Sabtu Rusia meningkat kepada sembilan orang selepas seorang lagi meninggal dunia di hospital, kata Oleksandr Ganzha, ketua pentadbiran tentera Dnipropetrovsk, di Telegram, lapor Anadolu.

    “Seorang lelaki berusia 24 tahun yang cedera semasa serangan petang Rusia di Sungai Dnieper meninggal dunia di hospital. Sepanjang hari itu, serangan musuh ke atas bandar itu telah mengorbankan 9 nyawa,” katanya.

  • Gelombang baharu serangan Israel mengorbankan 4 rakyat Palestin di Gaza

    Empat rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh awal Ahad dalam gelombang baharu serangan Israel di Jalur Gaza meskipun gencatan senjata berterusan, lapor Anadolu memetik sumber perubatan memberitahunya.

    Mayat dua rakyat Palestin dibawa ke Kompleks Perubatan Al-Shifa selepas serangan dron Israel menyasarkan sebuah motosikal dekat Bulatan Kuwait di Jalan Salah al-Din, tenggara bandar Gaza.

    Sumber itu menambah bahawa seorang rakyat Palestin ketiga terbunuh akibat tembakan tentera Israel di kawasan Al-Mughraqa di tengah Gaza, manakala seorang remaja berusia 14 tahun kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dalam serangan Israel di kawasan kejiranan Sheikh Radwan, utara bandar Gaza, petang Sabtu.

    Israel juga membedil kawasan di timur Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, lapor Anadolu memetik saksi.

    Di tengah Gaza, kawasan timur kem pelarian Al-Bureij juga menyaksikan tembakan daripada helikopter Israel dan bedilan artileri, lapor Anadolu, artileri Israel juga menyasarkan bahagian timur kawasan kejiranan Al-Tuffah di timur bandar Gaza, manakala bot tentera laut melepaskan bedilan ke arah pantai bandar itu.

  • Protes besar-besaran di Tel Aviv tuntut peletakan jawatan kerajaan Netanyahu

    Protes anti-kerajaan besar-besaran telah diadakan pada Sabtu di Tel Aviv dan bandar-bandar Israel lain menentang kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, dengan penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatannya dan pembentukan suruhanjaya siasatan rasmi mengenai peristiwa 7 Oktober 2023, menurut berita Andolu memetik laporan media Israel.

    Dataran Habima Tel Aviv merupakan pusat utama protes, di mana beribu-ribu orang berkumpul di bawah kehadiran polis yang ketat, laporan Anadolu memetik The Times of Israel.

    Peserta protes mengangkat slogan yang mengkritik pengendalian kerajaan terhadap tawanan yang ditahan di Jalur Gaza, dan menyeru perlindungan kebebasan kehakiman di tengah-tengah perbincangan Mahkamah Agung mengenai siasatan terhadap kegagalan yang membawa kepada serangan 7 Oktober.

    Beratus-ratus juga berdemonstrasi di Baitulmaqdis, manakala kira-kira 1,000 peserta protes berkumpul di Pusat Horev Haifa. Protes lain dilaporkan di beberapa bahagian negara.

    Demonstrasi itu dianjurkan oleh badan pengawas anti-rasuah Pergerakan untuk Kerajaan Berkualiti, bersama-sama dengan kumpulan masyarakat sivil yang lain.

    Netanyahu setakat ini enggan menubuhkan suruhanjaya siasatan negara terhadap serangan 7 Oktober itu, dengan alasan bahawa sebuah jawatankuasa akan berat sebelah terhadapnya.

    Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November 2024 untuk Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza. Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas perangnya di wilayah itu.

  • Angka maut akibat perang genosid Israel ke atas Gaza meningkat

    Kementerian Kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 72,587 orang terbunuh di Gaza sejak serangan genosid Israel bermula pada Oktober 2023, menurut berita Al Jazeera.

  • Iran hukum mati lelaki disabitkan kesalahan serang pasukan keselamatan

    Iran menghukum mati seorang lelaki yang disabitkan kesalahan menjadi ahli kumpulan bersenjata Sunni, Jaish al-Adl, dan menjalankan serangan ke atas pasukan keselamatan Iran, menurut berita Al Jazeera yang memetik laporan agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim.

    Pihak berkuasa dilapor mengenal pasti lelaki itu sebagai Amer Ramesh, mengatakan dia ditangkap dalam operasi anti-keganasan di tenggara Iran dan didakwa dengan pemberontakan bersenjata, termasuk terlibat dalam pengeboman dan serangan hendap yang menyasarkan anggota tentera.

    Jaish al-Adl ialah kumpulan bersenjata Muslim Sunni yang aktif di wilayah termiskin di Iran, Sistan-Baluchestan.

  • Kes kanser UK cecah rekod 400,000 setahun, laporan beri amaran

    Lebih 400,000 orang didiagnosis menghidap kanser setiap tahun di UK, rekod tertinggi yang menggariskan tekanan yang semakin meningkat terhadap sistem kesihatan negara itu, menurut berita Anadolu memetik laporan baharu.

    Menurut Anadolu, Cancer Research UK berkata lebih 403,000 kes kini direkodkan setiap tahun, bersamaan dengan kira-kira 1,100 diagnosis sehari, atau satu setiap 80 saat.

    Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh penuaan dan populasi UK yang semakin meningkat, tetapi peningkatan tahap obesiti dan penggunaan tembakau yang berterusan juga merupakan faktor utama. Merokok sahaja menyumbang kira-kira 57,700 kes kanser setiap tahun.

    Walaupun kadar survival telah meningkat dengan ketara, dengan kira-kira separuh daripada pesakit kini dijangka hidup sekurang-kurangnya 10 tahun selepas diagnosis, laporan itu memberi amaran bahawa kemajuan berisiko terhenti tanpa tindakan selanjutnya.

    “Menerbitkan pelan itu bukanlah ‘kerja yang telah selesai’ terhadap kanser,” kata Michelle Mitchell, ketua eksekutif Cancer Research UK.

    Laporan itu menyeru usaha yang lebih kukuh untuk mengurangkan risiko yang boleh dicegah, memperluaskan program saringan dan meningkatkan diagnosis awal. Ia menyatakan bahawa masa menunggu kanser kekal antara yang terburuk dalam rekod, dengan ramai pesakit menghadapi kelewatan dalam memulakan rawatan.

    Badan amal kanser itu menggesa kerajaan di seluruh UK untuk meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan penjagaan kesihatan, memberi amaran bahawa tindakan berterusan diperlukan untuk memastikan hasil yang lebih baik untuk pesakit.

  • Jumlah kematian akibat serangan Israel di Lubnan meningkat kepada 2,496

    Kementerian Kesihatan Lubnan mengumumkan pada Sabtu, jumlah kematian akibat serangan Israel telah meningkat kepada 2,496, dengan 7,725 orang cedera sejak peningkatan perang terbaru ini pada 2 Mac lalu, menurut berita Al Jazeera.

    Dalam laporan hariannya, ia mengatakan jumlah orang yang kehilangan tempat tinggal yang berlindung di pusat pemindahan telah melebihi 120,000, manakala bilangan keluarga yang kehilangan tempat tinggal di pusat-pusat ini telah mencapai kira-kira 31,000.

  • “Kami tidak lagi boleh bertolak ansur dengan perang ini,” kata wanita Lubnan yang kehilangan tempat tinggal

    Huda Kamal Mansour dari kampung Aitaroun di selatan Lubnan melarikan diri untuk menyelamatkan nyawanya apabila tentera Israel mula mengebom kawasan kejiranannya, lapor Al Jazeera.

    “Tiada jarak antara kami dan tentera Israel apabila mereka menyerang selatan Lubnan,” katanya kepada Al Jazeera.

    “Apa yang saya dapat dengar hanya bunyi letupan yang melanda kampung-kampung. Kami diberitahu untuk berpindah dari kampung, kemudian kereta kebal mengelilingi kami”.

    “Israel tidak meninggalkan satu rumah pun berdiri di sana,” katanya sambil berdiri di sebuah stadium kosong di Beirut, yang kini menjadi rumah kepada banyak keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

    Dia telah tinggal di sana bersama anak lelakinya yang berusia sembilan tahun selama 45 hari lalu.

    “Kami dialu-alukan di sini [di Beirut], tetapi kami tidak selesa di sini kerana Aitaroun masih di hati kami,” katanya.

    “Tiada elektrik, dan cuaca sangat panas dan nyamuk meliputi khemah,” katanya mengenai keadaan tempat tinggal.

    “Gelap dan tidak selamat untuk menyalakan lilin”.

    Awalnya, dia percaya bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan “akan membolehkan orang ramai pulang ke selatan”, namun itu tidak berlaku.

    “Setiap kali kami kehilangan tempat tinggal, ia dijustifikasikan secara berbeza-bebza. Awalnya, ia adalah perang ke atas Gaza; kini, ia adalah Iran,” ratapnya.

    “Kami tidak lagi boleh bertolak ansur dengan peperangan ini”.