Ibu Venezuela meninggal dunia 10 hari selepas kerajaan sahkan anaknya yang hilang mati dalam tahanan

Carmen Navas, ibu berusia 82 tahun yang menghabiskan hampir setahun mencari anak lelakinya yang ditahan di Venezuela, meninggal dunia hanya 10 hari selepas kerajaan mengesahkan anaknya itu meninggal dunia dalam tahanan kerajaan, menurut berita Reuters memetik laporan NGO yang mengendalikan kesnya.

Navas menjadi tokoh terkemuka di Venezuela ketika secara terbuka merayu untuk mendapatkan maklumat mengenai anak lelakinya yang berusia 50 tahun, Victor Quero.

Sepuluh hari lalu, pihak berkuasa mendedahkan Quero meninggal dunia akibat kegagalan pernafasan di penjara Rodeo I yang terkenal pada Julai lalu, lapor Reuters.

Menurut Reuters, ketua Penal Foro, Alfredo Romero, berkata pegawai penjara telah berulang kali memberitahu Navas bahawa mereka tidak tahu di mana anak lelakinya berada.

Ketua pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, meratapi Navas di media sosial, memujinya kerana berhadapan dengan “aparat pengganas” untuk mencari anaknya.

“Bukan sahaja seorang ibu yang meninggal dunia; seorang wanita yang mengubah kesakitan menjadi keberanian dan keputusasaan menjadi kecaman telah terpadam,” tulis Machado, sambil menambah bahawa suara Navas telah menjadi suara ribuan ibu yang mencari anak-anak yang hilang atau dipenjarakan.