Sekurang-kurangnya 12 anggota polis terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas seorang pengebom berani mati merempuh dengan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan ke dalam sebuah instalasi polis di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan, menurut berita Xinhua memetik sumber rasmi pada Ahad.
Serangan itu menyasarkan instalasi di daerah Bannu di wilayah itu pada jam 8:55 malam waktu tempatan pada Sabtu (1555 GMT), menyebabkan kemusnahan besar-besaran pada instalasi terbabit, kata sumber kepada Xinhua dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
“Serangan itu melibatkan alat letupan buatan sendiri yang dibawa oleh kenderaan, diikuti dengan aktiviti dron quadcopter dan serangan darat berikutnya oleh militan,” kata sumber itu menurut Xinhua.
Skuad pemusnah bom menganggarkan antara 1,200 dan 1,500 kg bahan letupan telah digunakan dalam serangan itu, kata sumber itu, menurut Xinhua.
Sebuah kumpulan militan yang dikenal pasti sebagai Ittehad-ul-Mujahideen Pakistan (IMP) mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu melalui saluran media sosial, lapor Xinhua.
