Sebuah pesawat kecil terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Crystal di utara Minneapolis pada Sabtu, mengorbankan seorang penggubal undang-undang negeri Dakota Utara dan juruterbangnya, kata pihak berkuasa, menurut berita AP.
Pegawai bertindak balas terhadap laporan nahas pesawat kecil pada jam 11:51 pagi dan menemui sebuah pesawat yang telah terhempas dan terbakar di sebuah taman di bandar Brooklyn Park, Minnesota, sejurus selepas berlepas, kata Inspektor Polis Brooklyn Park, Matt Rabe.
Perwakilan negeri Dakota Utara, Liz Conmy, dari Fargo, terbunuh dalam nahas itu, kata rakan sekerjanya, Senator negeri Tim Mathern, kepada Star Tribune, menurut AP.
Parti Liga Demokratik-Nonpartisan Dakota Utara, sebuah gabungan Parti Demokrat kebangsaan, mengesahkan kematian Conmy dalam satu catatan media sosial, menyifatkannya sebagai pejuang pendidikan awam, alam sekitar dan ketelusan.
“Kami benar-benar patah hati dan sedih dengan kehilangan Perwakilan Liz Conmy. Kematiannya merupakan satu kehilangan yang besar bagi negeri kami,” parti itu dilapor sebagai berkata dalam catatan di X.
