Protes besar-besaran di Tel Aviv tuntut peletakan jawatan kerajaan Netanyahu

Protes anti-kerajaan besar-besaran telah diadakan pada Sabtu di Tel Aviv dan bandar-bandar Israel lain menentang kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, dengan penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatannya dan pembentukan suruhanjaya siasatan rasmi mengenai peristiwa 7 Oktober 2023, menurut berita Andolu memetik laporan media Israel.

Dataran Habima Tel Aviv merupakan pusat utama protes, di mana beribu-ribu orang berkumpul di bawah kehadiran polis yang ketat, laporan Anadolu memetik The Times of Israel.

Peserta protes mengangkat slogan yang mengkritik pengendalian kerajaan terhadap tawanan yang ditahan di Jalur Gaza, dan menyeru perlindungan kebebasan kehakiman di tengah-tengah perbincangan Mahkamah Agung mengenai siasatan terhadap kegagalan yang membawa kepada serangan 7 Oktober.

Beratus-ratus juga berdemonstrasi di Baitulmaqdis, manakala kira-kira 1,000 peserta protes berkumpul di Pusat Horev Haifa. Protes lain dilaporkan di beberapa bahagian negara.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh badan pengawas anti-rasuah Pergerakan untuk Kerajaan Berkualiti, bersama-sama dengan kumpulan masyarakat sivil yang lain.

Netanyahu setakat ini enggan menubuhkan suruhanjaya siasatan negara terhadap serangan 7 Oktober itu, dengan alasan bahawa sebuah jawatankuasa akan berat sebelah terhadapnya.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November 2024 untuk Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza. Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas perangnya di wilayah itu.