Sekurang-kurangnya seorang anggota polis terbunuh dan lima yang lain cedera apabila lelaki-lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan pada Isnin, lapor Xinhua memetik sumber rasmi.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 08.50 waktu tempatan (03.50 GMT) di Daerah Hangu, di mana pasukan polis dalam perjalanan untuk melaksanakan tugas keselamatan bagi kempen anti-polio, kata sumber kepada Xinhua dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Penyerang menyerang hendap kereta polis dan melepaskan tembakan rambang, menyebabkan enam anggota cedera.
Mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital berdekatan, di mana seorang daripada mereka kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan.
