Kenderaan pelbagai guna (SUV) jenis Proton X50 dinaiki keluarga yang terbabit kemalangan maut di Sungai Petani, Kedah, hari ini dikatakan baru sahaja diambil, menurut berita BH Online.
Kenderaan itu dikatakan baru diambil di sebuah pusat jualan di Juru, Pulau Pinang sekitar jam 11 pagi tadi, sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, di sini menyebabkan enam maut dan seorang lagi cedera, lapor BH Online.
Menurut saluran berita itu, selain pemandu kenderaan, Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 27, turut maut adiknya, Ahmad Fahim, 21; Nora Mhd Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; serta seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dan bayi berusia enam bulan.
Seorang lagi penumpang iaitu kanak-kanak berusia tiga tahun parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, lapor saluran berita itu.
Dilaporkan, mayat enam mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
BH Online melaporkan, menurut ahli keluarga, Proton X50 dinaiki tujuh sekeluarga itu milik Ahmad Fahim yang juga anggota polis yang bertugas di Pulau Pinang dan difahamkan semua mangsa sempat meluangkan masa mencuba kenderaan itu dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur arwah bapa mangsa.
Bapa kepada seorang daripada mangsa, Ibrahim Ghazali yang juga abang ipar Ahmad Fahim berkata, anak keduanya yang berusia tujuh tahun turut serta pada saat akhir kerana sangat teruja menaiki kenderaan baru.
