3 terbunuh dalam serangan Israel di pinggir bandar selatan Beirut

Serangan udara Israel di kawasan Choueifat di pinggir bandar selatan Beirut mengorbankan tiga orang, membabitkan seorang wanita, bayi perempuannya, dan seorang kanak-kanak Syria, serta mencederakan 15 orang lain pada Khamis, kata Kementerian Kesihatan Lubnan, menurut berita Xinhua.

Menurut Xinhua, pusat operasi kecemasan kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, mereka yang cedera termasuk tiga kanak-kanak dan lima wanita.

Terdahulu pada hari itu, serangan Israel menyasarkan sebuah bangunan kediaman di Choueifat, kawasan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri.

Serangan itu adalah yang pertama seumpamanya di pinggir bandar selatan Beirut dalam beberapa minggu, ketika Israel baru-baru ini meningkatkan operasi ketenteraannya di negara itu.