Sekurang-kurangnya 16 militan, dua anggota polis dan dua anggota militia terbunuh, manakala beberapa yang lain, termasuk orang awam, cedera semasa operasi keselamatan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan, kata sumber polis pada Ahad, menurut Xinhua.
Polis dan pasukan keselamatan melancarkan operasi mencari dan menyerang susulan laporan mengenai kehadiran militan di daerah Bannu pada Sabtu, lapor Xinhua memetik sumber.
Sebuah militia keamanan tempatan turut menyertai operasi itu. Dua anggota militia terbunuh dan tiga lagi cedera apabila militan menjalankan serangan dron semasa pertempuran itu, Xinhua memetik sumber itu.
Lapan anggota polis juga cedera dalam serangan itu dan dipindahkan ke hospital berdekatan untuk rawatan.
Operasi mencari untuk mengesan militan di kawasan itu berterusan sehingga pagi Ahad, menurut sumber itu.
Militan terbabit dilaporkan berasal dari Tehreek-i-Taliban Pakistan yang diharamkan dan menggunakan senjata canggih dalam serangan itu, lapor Xinhua memetik sumber itu.
